PENGALAMAN 3 HARI 2 MALAM DI TAMAN NEGARA JOHOR ENDAU-ROMPIN (PETA)
Mengujakan, memberi inspirasi dan bermakna. Begitulah yang dapat diluahkan dengan kata-kata untuk menggambarkan rencah pengalaman serta pengetahuan yang diperoleh sepanjang lawatan sambil belajar kami ke Taman Negara Endau-Rompin (Peta) bersama 9 pasukan sekolah
yang lain bersempena ‘Raja Zarith Sofiah Wildlife Defenders Challenge 2013’.
Mendaftar diri di Pejabat Taman Negara Johor Endau-Rompin (Peta)
Rentetan kisah selama 3 hari dan 2 malam bermula pada 4 hingga 6
September 2013, terasa begitu singkat bagi kami untuk meneroka keindahan alam flora dan fauna, ciptaan Yang Maha Esa. Keramahan pegawai dan fasilitator program membuatkan kami terasa ingin terus berada lebih
lama menjelajah dunia istimewa di PETA.
Persis ungkapan pendeta, perjalanan seribu langkah, bermula dengan langkah pertama
yang sungguh bermakna. Sebahagian besar peserta menaiki kenderaan pacuan empat roda yang disediakan. Tetapi bagi kami, pengalaman meredah laluan kawasan ladang kelapa sawit menaiki lori Jabatan Pertahanan Awam Malaysia sungguh di luar jangkaan. Ditambah pula, dengan keadaan jalan
yang tidak rata dan beralun-alun menyebabkan sebahagian daripada peserta mula rasa mual dan muntah.
Pengalaman menaiki lori JPAM sukar untuk dilupakan
Usai mendaftar diri dan menjamu selera, beberapa sesi taklimat oleh pegawai Perhilitan dan Taman Negara serta Kulim Wildlife Defender (KWD) terus mengisi perjalanan program pada hari pertama. Kami dapat saling berkenalan dengan peserta dari pasukan sekolah yang lain melalui sesi ‘Ice Breaking’.
Melapor diri setelah sampai di Peta.
Mendengar takilmat
Sesi 'Ice Breaking'
Selain itu, keunikan pelbagai spesies serangga boleh kami perhatikan melalui aktiviti ‘Light Traps’ di samping aktiviti kembara malam yang turut mewarnai aktiviti tirai malam kami.
Mengenali serangga melalui aktiviti 'Light Traps'
Detik yang ditunggu-tunggu kini telah tiba. Aktiviti ‘trekking’ ke Kuala Marong merupakan aktiviti utama kami pada hari kedua. Pengalaman menaiki bot, meredah hutan, bermandi-manda di Tasik Air Biru, mengenali batuan volkanik dan kepelbagaian flora dan fauna terlalu sukar untuk digambarkan dengan bait kata. Apatah lagi perjalanan kami turut ditemani oleh sang pacat yang rakus mencari mangsa santapannya. Kekejangan otot begitu terasa dek kerana kurang persediaan fizikal dan mental.
Terpesona dengan keindahan alam semasa perjalanan menaiki bot
Akhirnya kami sampai di Kuala Marong
Kedinginan merentas sungai
Pengalaman kami di PETA turut dikongsikan bersama-sama para peserta dan fasilitator sebagai menutup tirai sesi lawatan sambil belajar. Semangat kami terus membara untuk melindungi hidupan
liar setelah mendengar taklimat dari pada Wildlife Conservation
Society.
Bergambar kenangan
Sebelum bertolak pulang, rakaman gambar diambil sebagai cenderahati kenang-kenangan. Pengalaman suka duka kami di PETA tidak akan dilupakan. Apa yang penting kehadiran kami adalah sebagai pembela hidupan liar demi memastikan kesinambungan dan kelestarian warisan kehidupan untuk generasi akan datang.
Comments
Post a Comment